AKU MELANGKAHKAN KAKI, BERJALAN, MELIHAT, MENTAFSIR, JATUH TERSUNGKUR LALU BANGKIT SEMULA KEMUDIAN BERJALAN KEMBALI KE DESTINASI….

Give me a SHOUT!

Monday, September 24, 2012

Saat di uji


Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna. 
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
 “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”

Surat untuk Zauji



Assalamualaikum.
Sejahtera buat calon suamiku, moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu dan doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaan-Nya…

“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”

Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah S.A.W kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pasanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah…

Calon zaujiku,

“Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara; hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu…”

Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan oleh mak dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab nanti. Tiada harta sebagai jaminan kau akan menerima sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan kerana aku pernah terbaca sepotong kalam suci yang bermaksud;

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada-Nya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang.”

(Surah Ar-Rum : 21)


Jika keturunan mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah bahawa keluargaku bukanlah dari keturunan ternama. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia ayahanda Nabi Adam A.S dan bonda Hawa A.S. sama sepertimu…

Kecantikan, itulah pandangan setiap insan. Malah, aku yakin kau juga tidak terlepas seperti insan lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripadaku, kau telah tersalah sangka. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan kepadamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata…

Calon suamiku yang kuharapkan semoga mendapat keredhaan Ilahi,

Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-sama menegakkan dakwah Islamiah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markaz dakwah dan tarbiah ke arah jihad hamba-Nya kepada pencipta-Nya yang Agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau, dan anak-anak kita.

Calon suamiku yang dirahmati,

Inginku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun dan mas kahwin yang mahal yang menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya maharku sebuah qalam mulia; Al-Quran, kerana aku meyakini qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaan-Nya, bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh tanggungjawabku terhadap agama Allah ini.

Terlalu panjang rasanya aku mencoret warkah ini. Cukuplah dahulu buat tika ini, andai dizinkan aku akan kembali menitipkan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.

akhir zaman ini


Manusia... 
Terkadangnya lupa Allah itu ada
Di atas sana memerhati hamba-hambaNYA
Menunggu disampaikan rindu padaNYA
Menangis sendu dalam tadahan doa
Rintihan memohon panduan di atas dunia
Rasa cinta buat pemilik alam semesta.
Ku lihat dunia akhir zaman 
Penuh dugaan, cabaran yang menakutkan 
Kealpaan pada kesenangan 
Milikan harta yang bergelimpangan
Dari sudut lain pandangan 
Terasa jijik melihat insan malang di tepi jalan
Hilang rasa belas kasihan
Apatah lagi ihsan menghulur tangan
Tidak langsung peduli atau hairan.
Wanita...
Antara makhluk Allah yang mulia
Dimuliakan hingga ke akhir hayatnya
Pahalanya berganda
Sehingga kata pujangga
Tangannya mampu menggoncang dunia
Namun ramai manusia 
Merendahkan martabatnya
Memperlekahkan maruah kaum hawa
Aurat mereka tidak dijaga
Rasa bangga mempamerkan pada dunia
Mahkota yang pada asalnya sangat berharga
Kini pudar warnanya, tiada makna.
Pemuda 
Pemimpin wanita 
Ketua keluarga 
Namun ramai yang menjadi umpama serigala 
Maaf di pinta andai tersilap bicara 
Itulah hakikat era dunia 
Ilmu dan iman semakin pudar di dada 
Apatah lagi menjadi amalan dalam hidupnya.
Kulihat manusia berpeleseran
Berpegangan tangan tanpa ikatan
Berpelukan tanpa segan
Tidak malukah pada Tuhan
Yang Maha Melihat walau cuba disembunyikan
Dan para malaikat yang mencatat di kiri dan kanan.
Ya Rahman...
Ku pohon kekuatan iman
Moga istiqamah umat akhir zaman
Yang menempuh begitu banyak cubaan dan dugaan
Umat Rasulullah yang hidup berlandaskan Al-quran
Meneruskan perjalanan atas kepercayaan pada Tuhan.
Ya Hannan...
Matikanlah kami dalam iman
Ampunilah kami sebelum pergi menghadap pengadilan
Turunkanlah hidayahMU agar kami tidak tersesat jalan
Berkatilah hidup kami sebagai bekalan perjalanan
Agar layak diri ini menghadap Tuhan.
Allahu ya Rabbi...
Ampuni kami
Atas dosa-dosa ini 
Ampuni kami
Atas kealpaan diri 
Ampuni kami dan redhailah kami
Amien Ya Rabbal 'Alamin...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...