Berubah.
Ramai manusia yang mahukan perubahan. Berubah ke arah kebaikan mahupun berubah ke arah kejahatan. Anda pilih. Namun saya percaya, orang yang normal pemikirannya akan berfikir dan mahu berubah ke arah kebaikan demi kesejahteraan dan kebahagiaan hidupnya.
Tetapi, tidak semua orang tahu bagaimana hendak memulakan perubahan itu. Bagaimana dan dari mana hendak melakukannya. Tidak semua orang dapat mengumpul kekuatan sendiri tanpa didorong oleh orang lain. Dan tidak semua yang mampu melakukannya tanpa bantuan huluran tangan dari orang lain.
Perubahan itu menjanjikan kesakitan dan kepedihan namun akhirnya kebahagiaan.
Langkah Awal Melakukan Perubahan
Orang Muslim selalu diperingatkan tentang niat sebelum melakukan sesuatu. Innamal a’malu binniyat! Maka, apabila terdetik dihati untuk melakukan sesuatu kebaikan, pastikan kita tanya diri kita sendiri. Kerana apa sebenarnya kita ingin melakukan kebaikan tersebut?
Adakah kerana ingin dikasihi Tuhan? Atau ingin dipuji semata-mata oleh manusia?
Pergaulan seharian juga memberi impak yang besar dalam kehidupan. Dan mencari sahabat yang baik, soleh lagi beriman itu memang suatu kemestian. Carilah sahabat mahupun kawan-kawan yang sekurang-kurangnya dapat memperingati anda dengan pertanyaan sebegini,
“Kamu dah solat?”
Jika ada kawan yang sebegini, maka hargailah ia. Jagalah hubungan dengan ia. Bergaul dengan orang jahat, maka jadi jahatlah kita. Bergaul dengan orang baik, maka jadi baiklah kita.
Anda ingin menjadi seorang yang baik dipandangan ALLAh? Saya mahu. Senyum.
Kita kena yakin, ALLAh dan para Malaikat-Nya sentiasa bersama dengan orang-orang yang bertekad mahu membuat anjakan paradigma dalam kehidupannya. Berubah ke arah kebaikan bererti menuju ALLAh. Menuju ALLAh bererti akan dikasihi oleh-Nya. Dikasihi oleh-Nya bererti beroleh kebahagiaan hidup.]
MashaALLAh! Subhanallah!
Pecahkan Tembok Keegoan Dalam Diri
Melakukan perubahan bererti kita akan belajar benda yang baru. Melalui pengalaman baru yang akan membuatkan kita sedar akan hakikat kehidupan yang sebenar meskipun kadang kala kehidupan ini sukar diungkapkan bagaimana pengakhirannya.
Kadang kala, kita malu untuk bertanya atau memulakan sesuatu tindakan kerana takut dipandang serong oleh orang lain. Takut kehilangan kasih sayang keluarga dan kawan-kawan. Dan kadang kala juga, kita teragak-agak untuk memulakan perubahan kerana memegang keegoan dek kerana malu berdepan dengan orang ramai.
Sahabat, untuk berubah, ada kalanya kita kena tolak jauh-jauh perasaan malu dan ego itu sendiri. Memeliharanya pada tempat yang salah akan memakan diri kita sendiri. Sedangkan, sebenarnya ramai orang yang memberi sokongan dan kita mendapat doa dari orang-orang yang beriman..
“Ya ALLAh, engkau ampunkanlah dan peliharalah seluruh kaum muslimin dan muslimat…”
Kita mesti mengatakan TIDAK kepada keduanya. Dan selalulah meminta perlindungan daripada ALLAh SWT dari syaitan dan nafsu yang membawa kita ke lembah kegelapan.
EGO? Pecahkan ia!
Rahmat ALLAh? Kejarlah! Kerana, ALLAh selalu ada untukmu. Senyum.
Mari berubah ke arah yang lebih baik dan lebih baik serta lebih baik.
Semoga ALLAh merahmati.
No comments:
Post a Comment