Ah, gundahnya jiwa mu, resahnya jiwa mu, dimanakah ketenangannya?
Jiwa kita tidak akan pernah tenang selagi kita tidak mahu menghidupkan jiwa kita dengan kemaafan.
Kita hidup penuh dendam, penuh amarah, rasa menyampah pada insan amat mendalam, hingga harga kemaafan kita melambung tinggi, hingga tidak terbeli. Kita mungkin berasa puas melambung-lambungkan kemaafan, membiarkan ia tergantung tinggi tanpa memberinya kepada sesiapa, tetapi bahagiakah kita? Kita mungkin berasa bahagia, ya, bahagia yang sengsara. Hidup kita penuh rungutan, tidak habis-habis, benci sana benci sini, tidak letihkah?
benar, sukar untuk memaafkan tetapi tidak mustahil untuk melupakan dan memaafkan. forgive and forget. Sememangnya kita lumrahnya sukar untuk memaafkan, namun berusahalah! Ia mungkin ambil masa, mungkin seminggu, sebulan atau mungkin lebih lama. Manusia sukar untuk melupakan kesilapan orang lain, belajarlah memaafkan, dan berusahalah melupakan!
Barangkali kita jenis yang mudah melenting, saya tidak menafikannya, saya juga mengakui diri saya juga mudah sekali melenting. Namun, mudahkanlah diri untuk memaafkan, cuba melupakan kesakitan yang dialami. Sabar tetapi hati penuh dendam tidak berguna, sabar kita jadi sia-sia. Benar kita marah, tetapi kemudian maafkanlah. Kita mahukan sabar, sabar yang sempurna! Sabar menahan marah, berusaha memaafkan kesalahan dan teruskan berdoa. Itulah yang akan menghidupkan jiwa kita..
Terus saya teringat sebuah hadith dari Abu Hurairah r.a, seorang pemuda meminta nasihat darpada Rasulullah SAW, lalu baginda menjawab, “Jangan marah!” Pemuda itu meminta perkara yang sama oleh Rasulullah SAW, maka tetap Rasulullah SAW mengatakan, “Jangan marah!”
Saya manusia, anda juga manusia, kita sama-sama manusia, belajarlah untuk memaafkan. Kita tidak rugi apa-apa pun jika kita menuturkan maaf. Namun jika kita terus-menerus menyimpan dendam, kita juga tidak lah untung apa-apa pun. Bahkan mematikan jiwa sendiri. Penuhkanlah jiwa kita dengan kemaafan, biar jiwa kita hidup, tanpa dendam, hari-hari yang kita lalui akan lebih ceria.
Ya, mungkin sesetengahnya memakan masa. Tetapi apa salahnya berusaha?
Allah Maha Pengampun. Dia mengajar manusia supaya saling memaaf-maafkan, kerana manusia yang tidak sempurna selalu lalai di muka bumi namun Allah yang Maha Sempurna tetap memaafkan. inikan pula sesama kita, manusia yang tidak pernah sempurna, tiada yang lebih, tiada yang kurang, melainkan ketaqwaan kita jua, maka tidak perlulah kita memahalkan harga maaf kita hingga melampaui batas.
Semakin murah kemaafan kita, semakin hampir kita dengan Allah. Kerana apa?
Kerana Allah Maha Pemurah lagi maha Pengampun. Kemaafan Allah adalah yang paling murah, Dia sentiasa memaafkan hamba-hambaNya. Kemaafan yang murah, semakin hampir kita dengan kemaafan Allah jua!
Maka hidupkanlah jiwa kita dengan kemaafan. Bukanlah mengharapkan maaf kita dihargai, cukuplah redha dan kemaafan daripada Allah pula melimpah ke atas diri kita.
Sampai bila kita mahu membius luka hati kita dengan dendam?
Hargailah jiwa kita, hidupkanlah ia dengan kemaafan!
Ayuh, sama-samalah kita maaf-memaafkan!
No comments:
Post a Comment